Lagu raya


Nilai sentimental lagu raya



JIKA tiada aral melintang, lusa seluruh umat Islam akan menyambut kedatangan Syawal setelah sebulan menahan lapar dan dahaga serta menempuh pelbagai cabaran sepanjang Ramadan.


Pastinya kini, semua sedang sibuk membuat persiapan terakhir dari segala segi terutama si ibu yang sedang memikirkan juadah yang perlu disediakan bagi tetamu yang hadir di pagi Syawal.
Kanak-kanak terutama yang paling tidak sabar meraikan Aidilfitri apabila dapat berkunjung ke rumah sahabat handai dan keluarga kerana inilah masanya untuk mereka mengumpul duit raya.
Namun satu yang pasti, setiap kali menjelangnya Syawal, tidak lengkap rasanya suasana itu dimeriahkan dengan rangkaian lagu-lagu raya yang berkumandang menghiasi segenap ruang angkasa.


Lagu-lagu raya sebenarnya memang dapat membangkitkan mood Syawal itu sendiri dengan melodi dan liriknya yang membuatkan kita sendiri terleka dan lebih bersemangat untuk menyambut ketibaan Syawal.


Lagu raya yang menjadi pilihan saban tahun adalah lagu raya lama dan malar segar berbanding komposisi baru yang dilihat langsung tidak menyengat dan tidak mampu untuk melahirkan suasana Syawal itu sendiri.


Kalau ada sekalipun, hanya boleh dibilang dengan jari yang mungkin berlandaskan kepada kualiti melodi, susunan muzik serta liriknya.


Koleksi lagu-lagu raya lama terlalu banyak dan tidak terhitung jumlahnya. Walaupun saban tahun, sering kali dimainkan, namun, rasa bosan langsung tidak timbul.


Untuk itu, dalam menghangatkan lagi suasana Hari Raya, Hits menyenaraikan 10 buah lagu raya yang mampu membangkit semangat raya di kalangan kita setiap kali munculnya Syawal.
Bukan itu sahaja, Hits juga berkongsi cita rasa artis dan selebriti tempatan mengenai lagu raya kegemaran mereka.

Judul: DENDANG PERANTAU

Penyanyi: P. RAMLEE

Lagu/Lirik: P. RAMLEE

Komen: Melodi dan lirik lagu ini sememangnya ringkas namun memberikan impak yang cukup besar sehingga generasi hari ini menjadikan lagu ini sebagai antara yang wajib untuk dimainkan setiap tahun.


Judul: SELAMAT HARI RAYA

Penyanyi: SALOMA.

Lagu/Lirik: AHMAD JAAFAR

Komen: Lagu ini sudah cukup untuk membangkitkan mood gembira dalam menyambut hari raya. Meskipun sudah berusia 35 tahun, namun, lagu ini tidak akan dimamah usia untuk selama-lamanya.


Judul: PULANGLAH

Penyanyi: AISHAH

Lagu: ADAM AHMADLirik: AISHAH

Komen: Tiada siapa yang pernah menyangka lagu yang berlandaskan muzik pop ini sudah mampu mencapai tahap malar segar. Apatah lagi ketika lagu ini mula diputarkan sekitar awal tahun 90-an, nama penyanyinya berada di puncak populariti sekali gus telah memberikan impak yang cukup besar dalam pembikinan lagu raya moden.


Judul: NOSTALGIA AIDILFITRI

Penyanyi: DATUK SHARIFAH AINI.

Lagu: DATUK SUHAIMI MOHD. ZAINLirik: LOGHA

Komen: Sebuah lagi lagu ciptaan Pak Ngah yang unik dan indah kerana elemen muzik tradisionalnya yang cukup kuat. Bukan itu sahaja, alunan si penyanyinya juga menambahkan lagi kekuatan lagu istimewa ini untuk diletakkan sebaris dengan lagu malar segar yang lain.


Judul: AIDILFITRI

Penyanyi: SANISAH HURI

Lagu: ZUBIR SAIDLirik: YUSNOR EF

Komen: Melodinya yang cukup mendayu dan liriknya yang begitu puitis dan universal menjadikan lagu ini begitu sesuai berkumandang di pagi Aidilfitri.


Judul: SELOKA HARI RAYA

Penyanyi: UJI RASHID & HAIL AMIR

Lagu: DATUK AHMAD NAWABLirik: ERNA

Komen: Lagu joget yang disulami dengan muzik moden ini juga menjadi antara lagu wajib setiap kali tiba hari raya. Gandingan pasangan duet ideal ini berjaya menterjemahkan lagu ini dalam menceritakan suasana riang Syawal itu sendiri sehingga kita terhibur dan tersenyum sendirian mendengarkannya.


Judul: SATU HARI DI HARI RAYA

Penyanyi: M. NASIR

Lagu/Lirik: M. NASIR

Komen: Tidak dinafikan lagu ciptaan komposer tersohor ini sememangnya mempunyai auranya yang tersendiri. Komposisinya mempunyai keunikan yang tersendiri manakala liriknya pula mempunyai maksud yang cukup mendalam.


Judul: DARI JAUH KU POHON MAAF

Penyanyi: SUDIRMAN

Lagu: S. ATANLirik: HARON ABDUL MAJID

Komen: Antara lagu yang cukup menyentuh jiwa dan mampu memecah hening pagi raya dengan tangisan bagi mereka yang mampu menghayatinya terutama bagi anak dagang di perantauan.


Judul: INDAHNYA BERAYA DI DESA

Penyanyi: AZLINA AZIZ

Lagu: S. ATANLirik: FAUZAN UDA AHMAD

Komen: Mendengarkan lagu ini membuatkan anak kota teruja untuk pulang ke desa dan meraikan Syawal bersama keluarga tercinta. Melodi yang cukup menarik perhatian dan ditambah pula dengan liriknya yang begitu kena dengan kehidupan anak dagang di perantauan, menjadikan lagu ini antara yang wajib dikumandangkan.
Judul:


SESUCI LEBARAN
Penyanyi: DATUK SITI NURHALIZA
Lagu: DATUK SUHAIMI MOHD. ZAIN
Lirik: HAIRUL ANUAR HARUN
Komen: Merupakan lagu raya pertama yang dihasilkan untuk biduanita muda ini oleh komposer yang tidak asing lagi iaitu Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau Pak Ngah sekitar tahun 1998.
Melodi yang sarat dengan muzik Melayu menjadikan lagu ini begitu dekat di hati kita serta ditambah dengan penghayatan si pelantunnya sudah cukup
melengkapkan lagu indah ini.Malah lagu ini juga menjadi kegemaran penyanyinya.


SALAM AIDILFITRI

1 comment:

edhamidi said...

aku lebih suka lagu lama bro..
sbb ada nilai sentimental.
ada jiwa dlm setiap lagu..

Berlalulah Ramadhan

Ada dua perasaan bila tiba bulan Syawal. Satu, Perasaan gembira , bila tamatnya berpuasa dimana kita berjaya menunaikan ibadah puasa sebu...