IPOH: Seorang Pembantu Pentadbir Jabatan Agama Islam Perak yang bekerja sambilan sebagai juruwang di stesen minyak Petronas di Jalan Kuala Kangsar di sini, mati ditetak dalam satu rompakan di stesen minyak itu, pagi semalam. Dalam kejadian jam 6.50 pagi itu, Mohd Khairuddin Mohamed Isa, 42, dari Chemor mati di tempat kejadian selepas pendarahan serius di kepala.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisoner Azisman Alias, berkata sebelum kejadian itu, empat suspek yang menaiki sebuah kereta Proton Iswara datang ke stesen minyak untuk mengisi minyak. "Bagaimanapun, dua daripada mereka masing-masing bersenjatakan parang keluar dari kenderaan dan memasuki premis itu sebelum menghampiri mangsa yang berada di kaunter pembayaran. "Dua suspek terbabit dipercayai mengugut sebelum menetak kepala mangsa dan melarikan wang tunai berjumlah hampir RM1,000," katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Beliau berkata, pada masa sama, seorang wanita berusia 30 tahun yang juga pekerja di stesen minyak itu terselamat selepas dia menyedari kejadian berkenaan dan menyembunyikan diri. "Polis masih mengenal pasti identiti keempat-empat suspek terbabit dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya. Sementara itu, saksi kejadian, Norazila Mohd Sufian, 30, berkata dia menyedari kejadian itu ketika memulakan syif pagi bagi menggantikan mangsa yang bekerja syif malam. "Pada mulanya, saya hanya melihat sebuah kereta yang dinaiki empat lelaki berhenti di pam minyak itu untuk mengisi minyak. Bagaimanapun, dua daripada mereka tiba-tiba keluar dari kenderaan dengan membawa parang memasuki kaunter pembayaran.
"Saya tergamam ketika mendengar jeritan mangsa yang dikenali sebagai 'ustaz' dan melihat dua lelaki menetak kepala mangsa sehingga berlumuran darah," katanya yang masih trauma dengan kejadian itu. Beliau melarikan diri kerana bimbang kumpulan itu akan turut mencederakannya. "Saya sedih dengan kehilangan rakan sekerja kerana 'ustaz' adalah seorang rakan yang baik. Dia hanya bekerja sambilan pada waktu malam di stesen minyak berkenaan untuk menambah pendapatan keluarga," katanya.
No comments:
Post a Comment