Urus kesakitan untuk cepat pulih
Oleh SHOLINA OSMAN
Gambar MUHAMAD IQBAL ROSLI
Dr. R. Gopinathan menunjukkan punca kesakitan di urat saraf yang boleh menjejaskan kehidupan individu.
PEPATAH ada mengatakan lain padang lain belalang. Begitu juga dengan
rasa kesakitan yang dialami oleh setiap individu. Memang berbeza antara
satu sama lain.Pakar Bius dan Pakar Pengurusan Penyakit Hospital Pantai,
Dr. R. Gopinathan memberitahu, contohnya seperti reaksi yang
ditunjukkan oleh seseorang yang mengalami masalah patah pergelangan
tangan.
”Ada yang menunjukkan rasa sakit yang sedikit. Ada pula yang akan
menganggap keadaan menjadi teruk sekali,” katanya ketika ditemui di
pejabatnya yang terletak di Jalan Bukit Pantai, Kuala Lumpur, baru-baru
ini.
Jelas Dr. Gopinathan, ini menunjukkan rasa sakit sebenarnya
bergantung kepada daya ketahanan diri individu terhadap kecederaan atau
luka. Sesetengah individu terlalu takut hingga menambah rasa kesakitan.
Jelasnya, dalam kes seperti itu hanya menerusi rawatan, ubat-ubatan dan nasihat yang berkaitan dapat memulihkan keadaan pesakit.
Justeru, setiap individu perlu pandai menguruskan kesakitan agar
cepat pulih atau bertemu dengan doktor untuk mempelajari kaedah
menguruskan rasa sakit.
Biasanya, kata Dr. Gopinathan kesan kesakitan yang dapat dilihat dengan mata kasar dikategorikan sebagai ringan.
”Penyakit ringan ini dijangka boleh sembuh dalam tempoh tiga bulan,” katanya.
Bagaimanapun katanya, sakit yang melibatkan urat saraf seperti sakit
tengkuk, sakit belakang, sakit pinggang yang dihadapi hampir kebanyakan
orang dewasa pula dikategorikan sebagai penyakit yang tidak boleh
dilihat dengan jelas.
Kesakitan seperti itu biasanya kata beliau, akan melalui tempoh yang agak lama untuk dipulihkan.
”Ia juga akan turut memberikan kesan terhadap kehidupan peribadi
seseorang . Pesakit itu mudah rasa cemas, tidak dapat tidur dan tidak
yakin pada diri sendiri,” katanya.
Dr. Gopinathan berkata, ia akan menyebabkan seseorang itu menjadi
murung, tidak mahu keluar rumah sehingga merasakan tidak ada langsung
rawatan untuk membantunya pulih.
Bagaimanapun katanya, kerunsingan itu boleh diatasi jika mereka
menemui doktor yang mempunyai kepakaran dalam pengurusan penyakit.
”Di sini mereka akan mendapat nasihat untuk mencuba kaedah yang terbaik untuk mengurangkan rasa sakit yang dialami,” katanya.
Sebagai contoh katanya, bukan semua sakit di bahagian pinggang itu
akan menyebabkan seseorang itu diserang penyakit lain yang lebih
ditakuti seperti buah pinggang atau kanser.
Beliau berkata, dengan adanya teknologi rawatan moden, penyakit ini
dapat dipulihkan dan pesakit akan dapat menikmati kehidupan dengan lebih
baik.
Kata beliau, terdapat juga rawatan lebih moden seperti laser yang mana tidak lagi memerlukan pembedahan sebagai rawatan.
Selain itu katanya, kaedah lain yang digunakan untuk mengurangkan sakit tengkuk dan belakang menggunakan
radiofrequency ablation.
”Cara rawatan baru ini hanya dilakukan dalam tempoh beberapa jam
sahaja. Selepas rawatan pesakit boleh terus pulang ke rumah,” katanya.
Beliau memberitahu, pesakit bukan sahaja akan diberikan ubat-ubatan, tetapi juga latihan fisioterapi dan sebagainya.
Dr. Gopinathan juga memberikan untuk hidup sihat seseorang itu perlu
melakukan senaman regangan tangan yang boleh dilakukan sewaktu dalam
keadaan duduk atau berdiri dan berjalan kaki menggunakan kasut yang
sesuai dan menaiki tangga.
”Individu iuga perlu mengambil makanan yang menyihatkan dan elak daripada mengambil makanan lewat di waktu malam,” katanya.
Selain itu katanya, perlu juga berfikiran positif agar setiap penyakit yang dihadapi oleh seseorang akan sembuh dengan cepat.
”Cari rakan-rakan yang mempunyai penyakit yang sama supaya dapat
dikongsi pengalaman agar dapat mengelak diri dari terus dalam keadaan
runsing,” katanya.
Kata beliau, sebaiknya carilah apa sahaja hobi yang boleh diisi
ketika waktu terluang supaya dapat mengelak daripada berfikir tentang
penyakit yang dialami.
Selain itu, kena tenangkan fikiran supaya dapat menikmati kehidupan dengan lebih baik.
”Cuba biasakan diri dengan menarik nafas sedalam-dalamnya dan
kemudian lepaskan secara perlahan-lahan supaya diri berada di dalam
keadaan yang lebih tenang,” katanya.
Katanya, sebaik-baiknya cuba bersosial bagi mengelak diri daripada
bersendirian atau berinteraksi dengan rakan baru menerusi laman sosial
Facebook (FB).
Di samping itu, katanya, jangan menyalahkan diri sendiri atau orang
lain di atas kesakitan yang dihadapi sebaliknya hadapi dengan tabah.