Oleh Isma Ismail isma@hmetro.com.my
KOTA BHARU: Kepekaan seorang gadis yang curiga dengan isi kandungan satu bungkusan plastik direbut sekumpulan kambing ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya kira-kira jam 7 pagi membawa kepada penemuan mayat bayi perempuan, dipercayai baru dilahirkan di Kampung Sungai Budor, dekat sini, semalam.
Berikutan itu, Sharifah Nor Asma Syed Hamid, 23, yang kebetulan berjalan kaki di situ segera memaklumkan kepada bapanya, Syed Hamid Syed Hussin, 59.Syed Hamid yang memeriksa bungkusan itu terkejut apabila mendapati ia mengandungi mayat seorang bayi perempuan sebelum melaporkannya kepada polis.Difahamkan, gadis berkenaan terlihat bungkusan plastik hitam itu diseret sekumpulan kambing di lantai sebuah warung di tempat kejadian.
Dia yang pelik melihat bungkusan itu berpatah semula ke rumah untuk memaklumkan bapanya.
Ketika ditemui, mayat bayi berkenaan dibalut dengan plastik putih sebelum diisi dalam bungkusan plastik hitam terbabit.Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar, berkata hasil pemeriksaan mendapati mayat bayi perempuan itu masih bertali pusat dan mempunyai uri selain cukup sifat.
Katanya, mayat bayi yang dikenal pasti berketurunan Melayu itu dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.“Kami percaya bayi malang itu dilahirkan kira-kira 12 jam yang lalu sebelum diletakkan dalam bungkusan plastik di tempat kejadian. “Kami sedang mengenal pasti punca kematian bayi itu selain mengesan individu bertanggungjawab yang membuangnya di situ,” katanya.Kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana membabitkan perbuatan menyembunyikan kelahiran bayi.Setakat ini, katanya, tiada tangkapan dilakukan dan meminta kerjasama orang ramai untuk membantu siasatan.
.........................................................................................................................................................................
No comments:
Post a Comment