Tidak pertahan kerusi Presiden Umno
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Umno pada perhimpunan agung parti Mac depan, sekali gus membuka laluan kepada Datuk Seri Najib Razak untuk menggantikannya sebagai Perdana Menteri jika menang dalam pemilihan itu. Keputusan yang menyaksikan proses peralihan kuasa setahun lebih awal itu diumumkan Abdullah selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, petang semalam.
Keputusan ini muktamad dan saya buat ini semua untuk Umno dan BN kerana saya sayangkan kedua-dua parti ini," kata Perdana Menteri pada sidang media selepas mesyuarat kira-kira 90 minit itu. Hadir sama ialah Najib dan semua pemimpin tertinggi parti komponen BN.
Pada mesyuarat itu, semua pemimpin parti komponen BN turut menyampaikan pandangan dan ucapan terima kasih sebagai menghargai jasa serta sumbangan Abdullah kepada negara dan rakyat. Sebelum ini, Abdullah menetapkan Jun 2010 sebagai tarikh untuk berundur daripada parti dan kerajaan, tetapi Majlis Tertinggi Umno pada mesyuarat khasnya baru-baru ini membuat keputusan menunda pemilihan dan perhimpunan agung parti dari Disember ini ke Mac tahun depan bagi mempercepatkan proses peralihan kuasa itu.
Terdahulu, dalam kenyataan lapan perenggan yang dibacakannya, Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, berkata kepentingan negara dan rakyat sentiasa menjadi keutamaan sepanjang tempoh perkhidmatannya selama 45 tahun sebagai penjawat awam dan wakil rakyat. "Oleh itu, saya tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Umno dalam Perhimpunan Agung akan datang. Saya tidak mahu melihat Umno dan BN berpecah belah. "Umno dan BN perlu bersatu dan kukuh bagi menangani cabaran global supaya kita berjaya menjadi negara maju dan menjamin kesejahteraan serta adil untuk semua.
Tempoh saya sebagai Presiden Umno akan tamat pada Mac 2009," katanya. Abdullah berkata, sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau melihat negara melangkah maju dari sebuah negara miskin kepada negara moden dan disegani.
"Walaupun prestasi negara membanggakan, ia masih berada di persimpangan. Kita perlu berani membuat perubahan dan mempercepatkan evolusi serta proses kematangan. "Jika kita gagal membuat perubahan itu, segala pencapaian selama lebih 50 tahun mungkin tergadai. Oleh itu dalam menghadapi perubahan dan transformasi ini, rakyat perlu berdiri teguh dan bersatu hati," katanya.
Ditanya perasaan beliau kerana terpaksa berundur sebelum tempoh Parlimen sekarang, Abdullah berkata: "Saya rasa biasa saja. Parti BN masih kekal memimpin kerajaan dan saya percaya kerajaan ini akan kekal kukuh untuk menghadapi pilihan raya umum yang seterusnya dan Insya Allah kita akan menang." Mengenai tarikh sebenar beliau akan berundur sebagai Perdana Menteri, Abdullah berkata penggantinya akan mengambil alih jawatan itu dan beliau berharap Najib akan menang pada pemilihan parti akan datang. "Saya kata harap kerana Najib perlu bertanding sebagai Presiden dan saya percaya dia boleh menang. Lepas Najib jadi Presiden, saya akan serah pada Najib. Kami akan bincang perkara itu," katanya sambil mengakui pemimpin BN menerima baik Najib sebagai penggantinya.
Abdullah menjelaskan, semua pemimpin komponen BN melahirkan pandangan tanpa sebarang paksaan dan beliau tidak memujuk mereka supaya menyokong Najib. "Lebih baik anda semua tanya mereka sendiri. Saya bukan kempen untuk Najib," katanya sambil menegaskan beliau tidak akan memilih pemimpin yang akan menjadi Timbalan Perdana Menteri. Mengenai kemungkinan ada bahagian Umno mencalonkan beliau untuk jawatan Presiden, Abdullah berkata: "Saya dah maklumkan lebih awal... buat apa nak calonkan lagi."
Abdullah juga mengakui prestasinya yang kurang baik pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Mac lalu adalah antara sebab beliau membuat keputusan berundur lebih awal. "Sudah tiba masanya untuk pemimpin di kalangan generasi baru mengambil alih. Saya tidak pernah menyesal dengan apa yang saya lakukan dan apa juga maklum balas yang diterima daripada pelbagai pihak itu adalah hak individu," katanya.
Sumber Berita Harian
No comments:
Post a Comment