UKIRAN menggunakan pasir yang dihasilkan oleh Sudarshan Pattnaik di pantai Puri, India hari ini, tertera ucapan tahniah kepada Senator Barack Obama yang dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat
WASHINGTON: Senator Barack Obama mencipta sejarah bergaya dengan memenangi pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS) manakala Iran - negara yang pernah dilabelkan oleh Washington sebagai paksi jahat menyifatkan kejayaan senator itu sebagai "peluang dan ujian."
"Pemilihan Obama mengatasi (calon Republikan) John McCain adalah positif," kata Ahli Parlimen Iran terkemuka, Hamid Reza Babai semalam.
"Obama telah menjanjikan perubahan dan perkembangan ini adalah peluang dan ujian bagi Amerika Syarikat," katanya.
"Kami menunggu untuk melihat perubahan," kata Hamid Reza.
Kata beliau, sepanjang lapan tahun lalu Presiden George W. Bush telah mencetuskan persekitaran menentang AS di seluruh dunia dengan pendekatan ketenteraan dan krisis kewangan.
Obama, 47, turun gelanggang persaingan dengan slogan "Change" mencipta sejarah sebagai pemimpin pertama daripada kalangan masyarakat kulit hitam untuk mengetuai White House berkata, "tempoh lama yang dinanti-nantikan sudah tiba."
"Tetapi malam ini, disebabkan apa yang kita lakukan pada hari ini, dalam pilihan raya ini, pada detik yang bermakna ini, perubahan sudah datang ke Amerika," kata beliau dalam ucapan kemenangan di hadapan kira-kira 240,000 penyokong beliau di Chicago semalam.
Sebelum ucapan itu, McCain mengaku kalah dalam pemilihan.
Beliau menghubungi Obama untuk mengucapkan tahniah kepadanya, yang berganding dengan Joe Biden selaku calon Naib Presiden.
Obama memperoleh sokongan padu daripada pengundi-pengundi kali pertama dan mereka yang berusia antara 18 dan 34 tahun selain masyarakat kulit hitam dan Hispanik.
Ini kali pertama sejak 1908 AS menyaksikan peratusan keluar mengundi paling tinggi iaitu kira-kira 64 peratus.
Kemenangan Obama mendapat reaksi positif daripada negara-negara besar dan maju termasuk China yang mengalu-alukan pemilihannya sebagai Presiden AS yang ke-44.
Pemimpin-pemimpin dunia juga mengharapkan hubungan dan dasar luar yang lebih dinamik dengan Washingtion.
AS pernah memiliki senator dan gabenor masyarakat kulit hitam tetapi ini kali pertama seorang menjadi presiden.
Obama hanya memerlukan 270 undi pemilih untuk menang jawatan Presiden. Ia diperoleh dalam tempoh lima jam selepas pusat pengundian mula ditutup secara berperingkat-peringkat.
Dari segi peratusan undi, Obama menerima 52 peratus ataupun 57 juta manakala McCain pula 47 peratus ataupun 52 juta. Dengan kemenangan itu Obama akan mengangkat sumpah dan memasuki White House Januari depan.
Dengan kemenangan di Florida, Ohio, Pennsylvania, Virginia dan beberapa negeri lain, Obama merekodkan prestasi yang 'menarik' untuk mengatasi McCain dengan mudah.
Obama, anak kepada pasangan warga Kenya dan ibunya dari Kansas, mendapat perhatian banyak pihak sejak tahun 2004. Pada tahun itu beliau bertanding kerusi Senat.
Selain laluan cerah bagi Obama, parti yang beliau wakili - Demokrat juga memperlihatkan prestasi baik dengan mampu menguasai majoriti di Dewan Perwakilan dan Dewan Senat - sekali gus mengawal Kongres buat kali pertama sejak 1994.
Bagi pilihan raya anggota Senat, parti Demokrat, yang Obama wakili, juga mencatatkan kejayaan memberangsangkan dengan memperoleh kerusi ketiga daripada penguasaan Republikan, menjadikan majoriti parti itu meningkat kepada 52 daripada 100 kerusi yang diperuntukkan.
Hanya beberapa kerusi dipertandingkan dalam pilihan raya Dewan Senat kali ini.
Di peringkat awal, bagi tempoh kurang sejam selepas pusat pengundian awal ditutup, McCain berada di depan lebih kelebihan lebih 10 undi pemilih.
Obama juga menang besar di Pennsylvania - salah satu daripada tiga negeri kritikal yang menjanjikan undi pemilih terbanyak.
Kemenangan mutlak di Pennsylvania meletakkan Obama di kedudukan kukuh untuk menuju ke White House.
Beliau juga dikatakan memperoleh sokongan besar etnik kulit hitam, kaum wanita dan masyarakat Hispanik.
McCain terus menerima sokongan penduduk kulit putih dan golongan warga kanan.